Akhbar pendidikan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor terus mendapat sambutan menggalakkan di sekolah-sekolah dengan yang terbaharu mendapat langganan sebanyak 440 naskhah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Guru Sains sekolah itu, Rauhiyah Che Md Nor berkata, Tutor membantu meningkatkan pemahaman murid berdasarkan soalan yang ada elemen kemahiran berfikir aras tinggi atau Higher Order Thinking Skills (HOTS). Menurutnya, set soalan yang terdapat pada buku atau bahan sumber rujukan lain sudah boleh diramal bentuk soalannya berbanding soalan latih tubi Tutor.

”Saya dapati banyak soalan latih tubi Tutor agak mencabar dan ini memberi alternatif baru yang berguna kepada murid.

”Boleh dikatakan sebahagian besar soalan latih tubi Tutor menyerupai soalan sebenar, dan ini jelas membuktikan set soalan latih tubi Tutor disediakan oleh guru pakar dan penggubal soalan peperiksaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut baru-baru ini.

Tutor yang bersaiz tabloid ini diterbitkan dua kali sebulan iaitu pada setiap Isnin minggu pertama dan minggu ketiga bermula awal September lalu. Akhbar itu dijual 40 sen senaskhah dan eksklusif untuk langganan sekolah.

Sementara itu, murid Tahun 6 Intelek, Muhammad Emis Feshan Azmizan berkata, dia tertarik dengan bentuk Tutor yang agak nipis dan kandungannya mantap. ”Tutor juga mudah dibawa kemana-mana, malah mudah disimpan dalam pakaian seragam dan inimemudahkan pembelajaran saya, ”katanya.

Bagi Nur Anis Athira Mohd Talmizi, biarpun Tutor menyelitkan paparan ilustrasi kartun namun kandungannya berkisar mengenai isu semasa dan berkaitan dengan aspek pembelajaran murid-murid.

”Misalnya, pada kartun Tutor ini menceritakan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris di sekolah dan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, kartun tersebut bukan semata-mata hiburan,” ujarnya.

Melalui aspek itu, menurutnya, murid-murid turut didedahkan dengan isu semasa yang berlaku di dalam atau di luar negara sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahukan murid negara ini berfikiran kritis seiring keperluan pendidikan abad ke-21.

Sumber: Utusan Malaysia

SK Desa Pandan Pupuk Minat Membaca Melalui Akhbar

Previous article

Bahan Fail RPH SKDP (Sekolah Amanah)

Next article

You may also like

Loading Facebook Comments ...

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *